Pintu peti sejuk ditarik pantas. Aku membayangkan
sepotong kek pelangi yang dingin bakal masuk ke kerongkong seketika nanti.
Sempat lagi aku menelan air liur kerana teruja. Keenakan kek pelangi bagaikan
memenuhi setiap ruang mulut comelku. Namun apabila terbuka sahaja pintu peti
sejuk, mataku bulat membuntang.
“Siapa pulak yang makan kek pelangi aku ni?”
Aku merengus sendirian. Keriangan yang terpancar pada
wajah sewaktu pulang dari kuliah terus hilang. Kek pelangi yang dibeli semalam
di Secret Recipes, KL Sentral hilang
tanpa tanda. Sambil memandang sisi dalam peti sejuk, aku ketap bibir. Ada perasaan
geram berbunga di dada.
Tanpa menanggalkan
pashmina, aku meletakkan beg kuliah di atas meja tulis di dalam bilik tidur.
Ketika itu, aku lihat Nurul turut berada di dalam bilik. Dia duduk di meja
tulis bersebelahan. Memandang wajahku yang culas, mengumpan pertanyaan daripada
Nurul.
“Kau dah kenapa? Pelik aku tengok!”
Aku merenung Nurul dengan rasa tidak puas hati. Aku
tengah bengang, boleh dia tanya soalan macam itu. Lepas bertanya terus Nurul
keluar dari bilik lalu menuju ke ruang tamu. Sempat juga tangannya mencapai
balang yang berisi biskut cream cracker.
Raut wajah Nurul aku lihat sedikit cuak. Kenapa dia mahu lari dari aku? Aku
mengeluh lagi.
Ada persoalan
masih berlegar di kepalaku. Aku masih belum puas hati. Aku harap apa yang
sedang bermain di fikiran, akan ada jawapannya. Aku kembali menjejaki Nurul di
ruang tamu. Sambil menonton televisyen, mulut Nurul terkumat-kamit mengunyah
biskut cream cracker tadi. Balang biskut itu masih dalam pelukannya. Aku sedang
berfikir hendak buat apa sekarang. Akhirnya aku memutuskan untuk duduk di
sebelah Nurul.
“Kau macam ada masalah aje. Apa kes?” soal Nurul turut
perasan gelagat kurang senang aku.
Aku diam buat seketika. Aku mahu menyusun kata
menjawab pertanyaan Nurul itu. Dari jelingan mata, aku lihat Nurul macam serba
salah. Duduknya serba tak kena. Sesekali memandang televisyen, sesekali
memandang kepada aku pula. Lagaknya macam cacing sedang kepanasan.
“Kenapa pandang aku macam tu? Err… aku ada buat salah
ke?” soal Nurul bertalu-talu.
“Err… Nurul, aku nak tanya kau sikit. Boleh tak?” Aku
memulakan mukadimah sebelum bertanya lebih serius lagi.
“Apa dia, Diera?” jawab Nurul semula dengan soalan.
Diteguknya air Indocafe panas yang dibancuh sebentar tadi. Nampak keningnya
terangkat, ala-ala Ziana Zain.
“Kau ke yang makan kek pelangi dalam peti sejuk tu?”
“Err… biar aku terangkan. Aku… aku…” tergagap-gagap
Nurul mahu menjawab. Aku memang sudah boleh agak, memang dia yang punya
angkara. Lantas aku cepat memotong percakapannya itu.
“Kenapa kau tak minta kebenaran aku nak makan kek tu?”
Aku merenungnya dengan penuh rasa geram. Marahku meluap-luap membara.
“Ermm… aku minta maaf. Aku… aku mengaku makan kek
pelangi kau tu… tapi…” kata-kata Nurul terus tersekat. Sebaliknya sekali lagi
aku pantas menjawab.
“Tapi apa? Kau jangan nak buat muka simpati. Dah tahu
hak orang, kenapa makan?” jerkahku lantas meninggalkan Nurul terkebil-kebil di
sofa. Entah kenapa, aku tak dapat mengawal perasaan marah petang itu. Aku
benar-benar kesal dengan tindakan tidak bermoral Nurul itu.
Hari terus berganti. Kisah kek pelangi telah
membuatkan hubungan aku dengan Nurul semakin retak. Biarpun kami duduk serumah, sebilik lagi tetapi tak ada
kemesraan lagi antara kami berdua. Aku dengan hal aku. Nurul dengan hal dia. Keadaan
dingin ini terus berlarutan, membuatkan aku kembali berfikir. Adakah tindakan
aku selama ini betul? Kerana sepotong kek pelangi, aku terus membenci Nurul.
Petang itu aku termenung seketika. Puas berfikir, tanganku
menyelak helaian novel Raudhah karya Ramlee Awang Murshid yang baru aku beli
tadi di MPH Bookstores Subang Parade, Subang Jaya beberapa hari yang lepas.
Bila terasa bosan membaca, fikiranku kembali mengingatkan Nurul. Mesti ada
sebab dia berbuat begitu. Aku kembali mengeluh.
Kek pelangi memang kek kegemaran. Jika berpeluang
keluar bandar, aku pasti mendapatkan sepotong kek pelangi untuk dibawa pulang.
Selepas kejadian aku marahkan Nurul tempoh hari, antara mereka amat jarang
bertegur sapa. Jika berselisih, masing-masing memandang ke arah lain. Kemesraan
sebelum ini memang sudah hilang. Akulah yang paling kuat membenci. Aku masih
belum boleh memaafkannya. Bukan sekali malah sudah beberapa kali Nurul membuat
kesalahan yang sama. Mula-mula aku berdiam dan menahan sabar, sehinggalah kes
yang terakhir itu membuatkan aku hilang sabar.
Dua minggu sebelum kejadian terakhir, macam biasa aku
simpan kek pelangi yang aku beli di dalam peti sejuk. Aku berkira untuk makan
kek tersebut semasa membuat tugasan nanti. Malangnya kek pelangi aku hilang
lagi. Aku tahankan sabar. Aku pergi ke dapur untuk membancuh minuman kordial Sunquick berperisa Tropical sejuk ke dalam mug Winnie
The Pooh berwarna hijau kesayanganku. Pada masa itu sempat juga aku bertanya
kepada Nurul tetapi Nurul buat penafian.
“Ehh… mana aku tahu. Entah-entah kau dah makan. Kau
kan pelupa!” ujar Nurul membuat dalih. Mungkin juga ada betulnya.
“Bukan kau yang makan?” soalan panas aku membuatlan
Nurul marah menyinga.
“Kau jangan nak tuduh aku! Kau nampak ke aku yang
makan kek pelangi tu?” soal Nurul kepada aku kembali. Ketika itu aku hanya
simpan marah di dalam hati. Sehinggalah berlaku lagi kehilangan kek pelangi
sekali lagi baru-baru ini, aku sudah tak boleh menahan sabar.
******
Setelah sekian lama mendiamkan diri, akhirnya Nurul
membuka mulut menceritakan hal yang sebenarnya. Dia yang mula menegur aku.
Untuk tidak memanjangkan persengkataan, aku cuba mendengar apa yang mahu
disampaikan. Ketika itu aku lihat wajah Nurul nampak sugul. Marahku bertukar
menjadi kesian.
“Aku… aku nak minta maaf sekali lagi pada kau. Aku
tahu kau masih marah. Aku benar-benar menyesal sebab dah menyakiti hati kau…”
kata-kata Nurul dengan perasaan sebak.
“Tapi kau tak sepatutnya buat macam tu. Kenapa tak
minta izin dari aku?”
“Memang aku tak sepatutnya buat macam tu tapi…”
“Tapi apa? Kau tahukan apa hukum mengambil hak orang?
Apa lagi aku ni kawan kau!”
“Aku tahu… sebab tu aku minta maaf. Aku sebenarnya iri
hati tengok kau. Selalu dapat apa yang kau nak. Makan sedap-sedap…”
“Apa maksud kau?”
Nurul menyeka air matanya yang gugur. Pandangannya
beralih keluar jendela bilik. Dia mengumpul kekuatan untuk terus berkata-kata.
“Hidup aku dan keluarga sangat susah. Ayah aku hanya
seorang pekerja kampung. Ibu tak bekerja dan adik-beradik ramai pula. Kau mesti
faham kalau hidup susah, nak beli apa pun payah. Bila tengok kau makan kek
pelangi, aku pun teringin. Dengan duit belanja yang tak seberapa, aku tak mampu
nak beli apa saja, walaupun sepotong kek pelangi!”
Kata-kata Nurul itu membuat aku turut mengalirkan air
mata. Sekarang baru aku faham maksud tersirat di sebalik kejadian. Dia patut
bersyukur kerana datang dari kalangan keluarga berada. Apa sahaja yang diminta
pasti akan ditunaikan oleh keluarga. Mendengar cerita kesusahan keluarga Nurul
membuat aku insaf. Lantas aku peluk Nurul memohon maaf.
“Maafkan aku Nurul. Aku sepatutnya bersyukur dan tak
patut buat kau macam ni. Sebagai sahabat kita mesti membantu antara satu sama
lain…”
“Terima kasih Diera. Kau sabahat yang baik.”
Keadaan kembali tenang. Aku terfikir sejenak tentang
apa yang telah diceritakan oleh Nurul tadi. Aku benar-benar menyesal kerana
mementingkan diri sendiri. Mulai saat itu, hubungan aku dengan Nurul kembali
baik. Apa sahaja kerja rumah mahupun tugasan kuliah kami buat bersama-sama.
Hubungan kami rapat seperti adik beradik.
Malam itu sebelum tidur, aku dan Nurul rancak berbual.
Kami ketawa terbahak-bahak apabila teringatkan kisah perselisihan faham sebelum
ini. Hanya kerana sepotong kek pelangi, hubungan kami menjadi huru-hara.
Kemudian dengan izin ALLAH SWT, hubungan kami erat bersatu kembali. Sebelum
melelapkan mata, aku dan Nurul sekali lagi berpelukan dan saling memohon maaf.
Hari terus berganti. Minggu bertukar bulan. Hari itu,
Nurul balik ke asrama sedikit lewat. Selalunya sebelum waktu Maghrib dia sudah
ada di dalam bilik asrama. Petang tadi dia ada perbincangan dengan teman
sekuliah di perpustakaan. Ada tugasan kumpulan yang mesti disiapkan cepat.
Alasan itulah dia balik lewat.
Sampai di bilik asrama, Nurul sedikit cemas. Dia
hairan sebab sudah hampir pukul sembilan malam tetapi bilik nampak gelap. Dia
berfikir dan tidak sedap hati. Selalunya sebelum waktu Maghrib aku sudah ada di
dalam bilik.
“Surprise!”
kedengaran suara menjerit tatkala Nurul menyalakan suiz lampu bilik. Ternyata
itu suara aku. Nurul benar-benar terkejut.
“Diera, apa semua ni?”
“Selamat ulang tahun kelahiran Nurul!” ucap aku sambil
membawa sebiji kek pelangi kepada Nurul. Beberapa batang lilin masih bernyala
apinya. “Tiup cepat, nanti padam pulak apinya!”
Nurul sekali lagi terkesima. Dia tidak menyangka
menerima kejutan malam itu. Dia sendiri hampir terlupa bahawa hari itu adalah
hari ulang tahun kelahirannya. Dengan sekali hembus, padam api lilin itu. Dia
amat gembira kerana diraikan oleh aku.
“Terima kasih Diera. Terima kasih kek pelangi yang
sangat istimewa ini!” kata Nurul hampir menitiskan air mata.
“Moga panjang umur dan diberkati oleh-NYA.”
“Amin…”
Ketika itu hanya perasaan gembira berlegar antara
mereka berdua. Sambil menikmati sedikit makanan yang aku sediakan, kami saling
bercerita. Nurul terus teruja apabila dihadiahkan sebiji kek pelangi. Dia tidak
sabar untuk menikmatinya. Kali ini dia akan makan sepuas-puasnya kek pelangi
itu. Aku menyuakan sepotong kek pelangi kepada Nurul. Aku juga sengaja menyapu
sedikit krim kek pelangi itu ke muka Nurul.
Keadaan bertukar kecoh. Gelak ketawa kami terus
memanjang. Akhirnya, aku dan Nurul kembali menikmati suasana gembira. Sepotong
kek pelangi telah menyatukan semula hati kami yang pernah retak. Seindah
namanya, kami mengharapkan warna-warna pelangi terus meneman kehidupan aku dan
Nurul sampai bila-bila.