Wednesday, 17 February 2016

Emerald Green vs Light Purple

“Boy! Ayra! Apa kena dengan kau orang berdua ni hah?Asal nak raya saja confirm bergaduh pasal warna tema untuk baju raya family…mak nak jaga nanny pun tak senang…kesianlah kat nanny tu dah lah tak sihat, yang kau orang berdua bising-bising buat nanny rungsing tahu tak?” Emak meninggikan suara apabila melihat kami bertegang urat memilih warna tema untuk baju raya pada tahun ini.

“Ala mak, apa kata raya tahun ni warna tema baju kita satu family guna emerald green…boleh tak mak?” Pertanyaanku kepada ibu kesayanganku.

Ibu hanya mendiamkan diri sahaja tanpa memberi sebarang jawapan, fikirannya benar-benar tidak tenang dan senantiasa memikirkan keadaan kesihatan nenek. Di tempat kerja, hanya jasad ibu sahaja berada disana tetapi fikirannya hanya memikirkan nenek sahaja sepanjang masa.

“Tapi mak, sekarang ni warna emerald green jadi warna trend untuk sambut raya tahun ni…boleh ya, mak kita sefamily pakai baju colour ni?” ujarku lagi.

Lalu adikku menyampuk,

“Mak, better tahun ni warna tema family kita light purple…sebab colour ni pun warna trend juga untuk sambut raya tahun ni…please mak,” adikku mengharap agar jawapan positif daripada ibu.

            Setelah lama mendiamkan diri dan mendengar perbalahan diantara aku dan adik, akhirnya ibu memulakan bicara kembali bersama. Walaupun terpancar riak risau dan keresahan serta tidak keruan diwajahnya.

“Ayra, Boy…tahun ni mak tak fikir pun nak sambut raya, sebab nanny tak sihat lagi…mak tak ada mood pun nak fikir buat persiapan untuk raya…bagi mak yang penting sekarang, mak nak nanny sihat macam biasa dan masa tu hati mak akan tenang and boleh buat kerja macam biasa…mak harap Ayra dengan Boy faham dengan keadaan mak sekarang ni ya,” aku dan adikku mendengar penjelasan ibu dengan penuh perhatian serta cuba memahami keadaan yang sebenarnya.

“Tapi, mak…tapi…” tergagap-gagap adikku hendak menjawab apa yang ibu jelaskan tadi namun ibu terus menjawab.

“Tak ada tapi-tapi lagi, ya Boy…mak dah tak nak dengar apa-apa lagi, okay! Ikut suka hati kau orang nak pakai baju warna apa…kau orang plan lah sendiri, kan masing-masing dah besar…kau orang pandai-pandai managed sendiri, takkan nak harapkan mak lagi buat pilihan untuk kau orang,” ibu bercakap dengan nada tegas kepada adikku, Boy.

“Kalau kau orang nak pakai baju tema colour emerald green ke, light purple ke…ikut kau oranglah, mak malas nak fikir raya ni pakai baju tema…mak pakai apa yang ada aje,” ujar ibu lagi.

“Tahun ni sama seperti tahun-tahun lepas, tiada warna tema baju…kita pakai aje colour apa yang kita suka…tak payah nak bertekak, bergaduh and pening kepala nak pakai baju colour apa…kita selak aje almari tengok colour baju yang tak ada, Pastu kita just beli aje baju yang tak ada colour tu…kan senang?” Ibu bercakap lagi kepadaku dan adikku yang terlalu sibuk bertegang urat saban tahun bagi menentukan warna tema baju raya bagi tahun ini.

Yelah mak…Ayra and Boy ikut hati sendiri nak pakai baju kurung atau baju melayu colour apa…nanti kalau apa-apa Ayra and Boy minta pendapat mak, okay!” Aku membalas kembali apa yang ibu bicarakan tadi dengan senyuman kepadanya.

“Kak Ayra! Boy rasa raya ni colour tema kita light purple erk…please Kak Ayra…Boy dah tengok colour emerald green kat Jakel, Shah Alam lah…colournya memang tak cantiklah kak,” ujar adikku.

“Boy beli colour light purple aje…sebab colour tu Boy tengok colour paling lawa kat Jakel tadi,” adik memberitahuku.

“oh yeke, Boy?” Pertanyaanku ringkas.

“La yelah, Kak Ayra…Boy tak tipu akak pun tau,” jawapan ringkas adikku.

“Hmmm…yelah,” aku membalas kembali pada adikku dengan nada mengeluh.
Dalam hati ini pun berbicara,

‘Ikut suka kau lah, Boy…kau pakailah baju melayu yang mana kau suka, akak pun nak pakai apa yang akak suka…akak pakai baju kurung tahun lepas aje…’

******

Dalam perjalanan balik dari Butik Tempahan Pakaian Farah Fesyen…

Aku hanya mengetap bibir menahan tangis mengenangkan baju rayaku tidak dapat disiapkan. Tanpa disedari air mataku mengalir kerana menahan marah yang sukar dibendung lagi dan berjalan pun diibarat seperti tidak berdaya dan sendi lutut menjadi lemah serta tunggu masa hendak terjelupuk ke lantai.

Dalam hati ini pun berkata dan berdoa,
‘Ya ALLAH…KAU sabarkanlah hati hambamu ini dari diselubungi perasaan marah yang sukar dikawal dan menjadi kemenangan pada rasukkan Syaitan Laknatullah…’
Ermm…tak apalah pakai jelah baju tahun lepas bukannya orang tahu pun…sabarlah wahai hati sebab ni bukan rezeki aku nak pakai baju baru…’

            Acap kali jika aku mengalami apa-apa masalah, aku akan hadap muka nenek kesayangan dan sentiasa memujukku supaya senantiasa bertenang serta bersabar. Aku bagaikan hendak menangis apabila mengenangkan dua pasang baju kurung yang tidak siap itu.

            Hati ini begitu hancur bila mengenangkan janji tukang jahit kepadaku. Sepanjang aku menempah baju dengan mereka, pihak butik tempahan dapat siapkan pakaian yang ditempah tepat pada masanya.

            Aku menelan makanan dan minuman untuk berbuka puasa pun diibarat seperti aku minum dan makan pasir. Seleraku tertutup untuk menikmati juadah berbuka yang telah dihidangkan oleh pembantu rumahku. Apa sahaja yang aku lakukan semuanya tidak menjadi dan sehinggakan solatku tidak khusyuk akibat terlalu memikirkan hal baju rayaku yang tidak siap.

            Fikiranku melayang entah kemana dan diibarat seperti diawang-awangan memikirkan dugaan  hari raya yang bakal menjelma tidak lama lagi. Aku hanya mendiam dan menenangkan diri dengan mengamalkan istighfar di dalam hati dan menghafaz Asmaa ‘Ul Husna bagi mengubat kemarahan yang bermukim didalam hati ini.

******
            Tiba-tiba…tanpa disedari ibu sudah lama duduk dihadapanku sambil merenung wajah anaknya dengan raut wajah yang tidak puas hati. Aku pula sibuk menaip untuk menghabiskan manuskrip cerpen yang sediada sambil mendengar lagu raya Anugerah Aidilfitri dendangan Dato’ Siti Nurhaliza.

“Ayra! Betul ke mak dengar dari nenek baju yang Ayra nak pakai tu tak siap lagi?” Pertanyaan ibu bagaikan halilintar kepadaku.

Aku diam seketika sambil terkedu.

“Ya mak…baju Ayra tak siap lagi sampai sekarang,” jawabku dengan nada yang mengendur dan takut hendak bertentang mata dengan ibu.

“Lain kali mak tak nak Ayra hantar kat tailor yang Ayra selalu hantar baju tu lagi…janji siap tiga hari sebelum raya…la ni tengoklah siap sehari sebelum raya…dah lah kerja lembap…dari dulu mak tak sukakan Kak Saidah yang jahit baju Ayra tu…tengok manik kat baju mak pun tak dihabiskannya,” ujar ibu dalam nada yang agak tegas.

“Mak nak Ayra cari tailor lain untuk jahit semua baju Ayra, okay! Keputusan mak muktamad…jangan nak adakan sebarang bantahan….mak tak nak dengar lagi,” ujar ibu lagi.

            Alhamdulillah, aku bernasib baik kerana ayah menjadi penyelamatku dalam menghadap kemarahan ibu tentang baju raya yang tidak siap. Ayah tidak pernah bising seperti ibu. Ayah sentiasa tenang dalam menghadapi sebarang masalah yang dihadapi oleh anak-anaknya.

“Hani, tak guna nak bising-bising…nak buat macam mana baju raya anak kita dah tak siap…redhalah, pakai aje baju raya tahun lepas bukannya orang perasan pun,”

“Tak pun kita belikan baju untuk Ayra yang baru…kan senang tak payah pening kepala and serabutkan otak tu,” ujar ayah lagi.

“Tapi Along…Ayra tempah baju tu dah lama since akhir tahun lepas lagi…Ayra bagi tempoh kat tukang jahit untuk jahit baju raya dia teramatlah panjang iaitu selama enam bulan setengah…bila tiba time nak ambil baju pulak, baju tak dapat disiapkan…cuba Along fikir, apa perasaan Ayra tu?” aku hanya mendiamkan diri dan mendengar perbualan ayah dan ibu dengan berwajah muram dan tidak ceria.

“Along faham perasaan Ayra sedih sebab tak dapat  nak pakai baju baru masa raya nanti…tapi nak buat macam mana dah bukan rezeki dia…kita masih ada masa lagi untuk push tailor yang Ayra hantar tu untuk siapkan paling command pun sepasang baju kurung jadilah,” ujar ayah kepada ibu.

            Ayah mencari jalan penyelesaian yang terbaik dengan memberi duit sebanyak RM200.00 kepadaku untuk membeli sepasang baju kurung moden dari Gulatis Silks House dan jubah moden yang berwarna emerald green dari Butik First Lady di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

            Aku pun menghantar mesej menerusi whatsapp kepada sahabat baikku, Nurul.

            “Yunk, teman aku pegi shopping raya kat Jalan TAR jom…”

            Tidak sampai dua minit, Nurul membalas mesejku,

“Okay cantek! Jom…kita buka puasa kat Dataran Sogo sekali ya, kau nak tak?” Nurul bertanya kepadaku.

“Okay gak tu…aku tak pernah rasa suasana buka puasa macam tu…best ke tak?” ujarku lagi.

******

Sewaktu menunggu waktu berbuka puasa di Dataran Sogo…

            Aku dan sahabat baikku, Nurul sempat lagi berbual kosong sementara menunggu waktu berbuka puasa sambil menghilangkan rasa mengantuk dan sempat lagi berselfie untuk memenuhkan memori telefon bimbitku.

            Setelah berlalunya waktu berbuka dan selesai berbuka, aku dan Nurul mengemas segala barang yang dibeli tadi untuk beransur pulang ke destinasi masing-masing.


            Walau bagaimanapun, perasaan terkilan tetap ada kerana tidak dapat memakai baju kurung berwarna emerald green akan tetapi tidak mengapalah bukan rezekiku untuk menyarungnya di pagi raya. Aku redha dan aku hanya dapat menyarung dan menggayakan sepasang kurung berwarna maroon dan cantik juga warnanya sambil tersenyum sendiri.

Thursday, 20 August 2015

Ayah

Keringat membasahi Bumi, seorang insan bergelar “Ayah” memerah kudrat tenaga dan tulang empat keratnya demi mencari sesuap nasi buat isteri dan anak-anaknya yang kian membesar dan meningkat dewasa. Tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dijalankan dengan sebaik mungkin walaupun ayah terpaksa lalui pelbagai dugaan dan bersabar dengan kerenah anak-anaknya.

            Wajahnya kurenung dengan penuh kasih sayang, garis-garis halus kian kelihatan pada wajahnya yang dimamah usia. Ayah begitu setia menunggu anak ini pulang dari bekerja dan keluar bersama rakan-rakan walaupun selepas maghrib. Namun, pesanan ayah aku abaikan begitu sahaja dan hanya memikirkan keseronokkan diluar dan mementingkan rakan-rakan daripada keluarga.

            Lalu aku bermonolog dalam hati sambil merenung potretnya,

‘Ayah, Diera tahu ayah terlalu sayangkan Diera…Diera tahu, ayah mahukan yang terbaik buat Diera sebab Diera adalah anak perempuan tunggal kesayangan ayah dan mak serta anak sulung pula tu…Diera faham dan mengerti kesusahan ayah dan mak dalam membesarkan serta memberi didikan yang sempurna untuk anak-anak dari sudut duniawi dan ukhrawi...ayah, kadang-kadang Diera rasa Diera ni bukanlah anak yang terbaik buat mak dan ayah…’
Tanpa disedari air mataku menitis sambil merenung potret ayah kesayanganku, ternyata walaupun aku tinggal bersamanya aku tetap merinduinya. Ternyata aku dan adik kembar perlukan kasih sayang seorang insan yang bernama ayah. Walau segarang dan setegas mana pun ayah, beliau tetap ayah dan memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh ALLAH swt khas buatnya.

            Aku termenung sendirian lagi sambil menghirup kopi o panas di beranda rumah sambil menghirup ketenangan angin malam dan merenung bulan purnama, lalu memikirkan masa depan akan datang. Tiba-tiba aku merasa ada seseorang yang memegang lembut bahu ini, lalu aku menolehnya.

            “Yes, Boy…kenapa?” Aku menoleh ke pintu beranda rumahku lalu merenung wajah adikku.
            “Kakak, ayah cari akak tadi…ayah tanya Boy kakak pergi mana?” Jawab adikku.

            “Oh okay! Akak ingat ada apa tadi,” ringkas balasanku.

            Sebelum adikku turun ke ruang tamu, aku memanggilnya sekali lagi.

            “Boy…”

            “Ya kak…napa?”

Ermm…kalau kau rajin please masakkan untuk akak dan ayah maggi kari boleh tak?” Aku meminta tolong kepada adikku.

“Boleh…tapi akak tunggu kejap erk,” jawab adikku.

Sambil menunggu maggi yang dimasak oleh adik, aku turun ke ruang tamu ingin bersama ayah dan menonton televisyen. Sambil menonton televisyen, ayah memulakan mukadimahnya untuk berbicara denganku.

“Kakak! Ayah nak cakap sikit boleh?”

“Apa dia, yah?” Pertanyaanku kembali

So macam mana progress manuskrip cerpen yang akak buat tu?” Pertanyaan ayah yang ingin tahu perkembangan projek sulungku ini.

Lalu aku pun menjawab,

So far so good, ayah…everything is okay!” Aku memberi jawapan dengan senyuman yang manis dan ikhlas kepadanya.

“Kenapa ayah?” Soalanku yang diajukan kepada ayah kembali.

“Tak ada apa-apa, kakak…cuma ayah harap kakak berjaya dalam dunia penulisan ni dan satu saja yang ayah pinta…” Kepalaku ligat memikir apa yang ingin dibicarakan oleh ayah.

“Ayah nak bila kakak dah terkenal, jangan lupa diri, sentiasa ingat ALLAH, jangan lupa mak dan ayah serta jangan terlalu berbangga diri dengan kejayaan sekarang tapi bersyukurlah dengan apa yang ada…anggaplah setiap kejayaan yang akak miliki tu sebagai pembangkin semangat untuk akak terus belajar dan  belajar lagi mendalami ilmu penulisan ni…In shaa ALLAH, berkat doa dan restu mak ayah, adik-adik, nanny dan semua ahli keluarga kakak akan berjaya…kakak ingat ya, sokongan ayah sentiasa ada buat kakak...jangan lupa tu ya, nak,” itulah permintaan ayah khas buatku.

Aku diam seketika sambil khusyuk mendengar nasihat ayah tadi. Setelah senyap beberapa ketika lalu aku menjawab.

“In shaa ALLAH ayah, kakak ingat pesanan yang ayah bagi tu…ayah janganlah risau sangat, okay!” Ujarku dengan penuh sopan dan hormat kepadanya.

******

Ayah menghadap laptopnya kembali  untuk menyelesaikan tugasan hariannya yang dibawa balik dari pejabat ke rumah. Tiba-tiba Boy berteriak dari dapur.

“Kak!Ayah! Maggi dah siap…”

“Okay! Boy,” jawabku dan ayah serentak.

Menikmati maggi sehingga licin mangkuk yang dimasak oleh adikku di masa senggang sememangnya kegemaranku bersama ayah tercinta semenjak tiga tahun lepas, semenjak aku tamat pengajian Diploma di Kolej PTPL Shah Alam.

Selepas selesai makan maggi tadi, tiba-tiba aku teringat hendak membeli barang dapur dan keperluan peribadiku di Econmart Supermarket, Sungai Bertih. Dengan tanpaku sedari, ayah berdiri dihadapan pintu dengan wajah yang agak garang dan cengih.

“Kakak! Mana tudung? Kenapa tak pakai tudung bila keluar rumah?” Pertanyaan ayah menyentak tangkai hatiku dengan renungan tajamnya.

Aku membalas kembali renungan tajam yang diberikan kepadaku oleh ayah dengan menahan perasaan marah yang kesumat didalam lubuk hati ini dalam keadaan yang menggigil-gigil akibat terlalu geram dengan ayah sehingga meleleh air mata.

Lalu aku memberi jawapan kepada ayahku,

“Tudung ada aje, yah…cuma akak malas nak pakailah…akak tak ready lagi nak bertudunglah, ayah…jadi, ayah jangan nak paksa akak nak pakai tudung ke or tak,” balasku dengan lancang sekali dihadapan ayah.

“Kakak! Jangan sampai ayah bercakap dengan penampar ya…selama ni ayah dah terlalu banyak sangat bersabar dengan perangai akak…ayah nak kakak masuk rumah and pakai tudung sekarang!Faham tak?” Melengking suara ayah kepadaku dan aku membalasnya dengan jelingan tajam dan tidak puas hati.

Dengan riak muka yang tidak puas hati dan tanpa memberi sebarang jawapan, aku berjalan dengan gaya hentak kaki sebagai tanda protes kepada ayah. Perasaan geram dan marahku bercampur baur dikala itu sehingga meleleh air mata. Hatiku menyumpah-seranah kerana tidak suka ditegur sedemikian rupa oleh ayah.

Di saat itu, aku masuk kembali ke rumah dengan nada menyesal dan pada masa yang sama aku mengutuk-ngutuk didalam hati.

‘Ceh…menyesal aku tak keluar sebelum ayah balik.’

Aku menyarungkan tudung di kepala ini dengan hati yang tidak ikhlas dan perasaan ini hanya merasa dalam keadaan keterpaksaan demi hendak menjaga hati ayah sahaja dan bukannya untuk diri aku sendiri tanpa memikirkan dosa dan pahala. Apa yang aku tahu hanya memikirkan kepuasan sahaja dikala itu tanpa memikir perasaan ayah dan dosa yang terpaksa ditanggungnya hanya kerana aku mendedahkan auratku sebagai seorang perempuan.

Nanny, Diera geramlah dengan ayah tu suka paksa-paksa orang suruh pakai tudung…Diera tak ready lagi, nanny,” aku mengadu kepada nanny dengan harapan dapatlah nanny menyokong aku dari belakang, rupa-rupanya tidak sama sekali.

Lalu nanny bercakap lagi kepadaku,

“Memang patut pun ayah marah kau, Diera...sebab keluar dari rumah tak nak pakai tudung…sampai bila ayah kau tu nak tanggung dosa kau mendedahkan aurat, Diera…cuba fikir umur kau tu dah nak masuk dua puluh tujuh tahun tu pun kau tak boleh berfikir lagi ke?”

“Tapi nanny…Diera…Diera…” Dengan nada tergagap-gagap aku hendak menjawab apa yang nanny cakapkan sebenar tadi.

“Tak ada tapi-tapi lagi, Diera…bermula dari saat ni, nanny tak nak kau keluar rumah tak pakai tudung…ingat nanny tak nak dengar jawapan dan alasan kau lagi keputusan nanny muktamad…nanny tak nak kau kena marah lagi dengan ayah, kau faham tak, Diera?” Nenekku bercakap dengan nada yang agak tegas kepadaku.

            Aku diam seketika dan berfikir sejenak sambil menundukkan muka dari membalas pandangan mata kepada nanny, sehinggakan aku merasa takut kepadanya. Sememangnya aku tahu, nanny memang terkenal dengan ketegasannya dan kegarangannya. Begitu juga ayah, sikapnya sama seperti nanny kesayanganku saling tidak tumpah. Akan tetapi itulah yang bakal kurindui jika nanny dan ayah telah tiada lagi di dunia ini.

“Baiklah nanny…Diera janji yang Diera akan pakai tudung bila setiap kali nak keluar dari rumah,” aku berjanji dengan nanny.

            Bermula dari saat itu, aku tidak lagi menjadi anak yang degil dan hanya mengikut kata hati sendiri tanpa memikirkan baik buruk dan dosa pahala lagi. Aku tahu seorang ayah mahukan yang terbaik buat setiap zuriatnya.

            Di saat ini juga, berhijab menjadi amalanku dan tidak pernah tanggal dari kepala ini setiap kali aku keluar rumah dan kemana sahaja aku pergi atau dimana sahaja aku berada. Kerana ketegasan seorang insan yang bernama ayah telah berjaya mengubah perangai dan sikap aku sebagai seorang anak yang agak keras kepala dan suka mengikut kata hati serta perasaan sendiri.

******

Di Medan Ikan Bakar, Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang.

Aku bermonolog sendirian sambil merenung laut dan menikmati angin malam seorang diri.

‘Ayah…Terima kasih kerana membesarkan kakak, memberi kasih sayang dan didikan yang sempurna buat kakak dengan penuh kasih sayang dari sebesar dua terlapak tangan sehinggalah sekarang dan bakal menjadi isteri orang tidak lama lagi…Ayahlah, wali yang terbaik buat kakak…kakak sayang ayah sehingga ke akhir hayat ni…’

Tuesday, 5 May 2015

Aku, Dia Dan Kek Pelangi.

Pintu peti sejuk ditarik pantas. Aku membayangkan sepotong kek pelangi yang dingin bakal masuk ke kerongkong seketika nanti. Sempat lagi aku menelan air liur kerana teruja. Keenakan kek pelangi bagaikan memenuhi setiap ruang mulut comelku. Namun apabila terbuka sahaja pintu peti sejuk, mataku bulat membuntang.

“Siapa pulak yang makan kek pelangi aku ni?”

Aku merengus sendirian. Keriangan yang terpancar pada wajah sewaktu pulang dari kuliah terus hilang. Kek pelangi yang dibeli semalam di Secret Recipes, KL Sentral hilang tanpa tanda. Sambil memandang sisi dalam peti sejuk, aku ketap bibir. Ada perasaan geram berbunga di dada.

Tanpa menanggalkan pashmina, aku meletakkan beg kuliah di atas meja tulis di dalam bilik tidur. Ketika itu, aku lihat Nurul turut berada di dalam bilik. Dia duduk di meja tulis bersebelahan. Memandang wajahku yang culas, mengumpan pertanyaan daripada Nurul.
“Kau dah kenapa? Pelik aku tengok!”

Aku merenung Nurul dengan rasa tidak puas hati. Aku tengah bengang, boleh dia tanya soalan macam itu. Lepas bertanya terus Nurul keluar dari bilik lalu menuju ke ruang tamu. Sempat juga tangannya mencapai balang yang berisi biskut cream cracker. Raut wajah Nurul aku lihat sedikit cuak. Kenapa dia mahu lari dari aku? Aku mengeluh lagi.

 Ada persoalan masih berlegar di kepalaku. Aku masih belum puas hati. Aku harap apa yang sedang bermain di fikiran, akan ada jawapannya. Aku kembali menjejaki Nurul di ruang tamu. Sambil menonton televisyen, mulut Nurul terkumat-kamit mengunyah biskut cream cracker tadi. Balang biskut itu masih dalam pelukannya. Aku sedang berfikir hendak buat apa sekarang. Akhirnya aku memutuskan untuk duduk di sebelah Nurul.

“Kau macam ada masalah aje. Apa kes?” soal Nurul turut perasan gelagat kurang senang aku.

Aku diam buat seketika. Aku mahu menyusun kata menjawab pertanyaan Nurul itu. Dari jelingan mata, aku lihat Nurul macam serba salah. Duduknya serba tak kena. Sesekali memandang televisyen, sesekali memandang kepada aku pula. Lagaknya macam cacing sedang kepanasan.

“Kenapa pandang aku macam tu? Err… aku ada buat salah ke?” soal Nurul bertalu-talu.
“Err… Nurul, aku nak tanya kau sikit. Boleh tak?” Aku memulakan mukadimah sebelum bertanya lebih serius lagi.

“Apa dia, Diera?” jawab Nurul semula dengan soalan. Diteguknya air Indocafe panas yang dibancuh sebentar tadi. Nampak keningnya terangkat, ala-ala Ziana Zain.

“Kau ke yang makan kek pelangi dalam peti sejuk tu?”

“Err… biar aku terangkan. Aku… aku…” tergagap-gagap Nurul mahu menjawab. Aku memang sudah boleh agak, memang dia yang punya angkara. Lantas aku cepat memotong percakapannya itu.

“Kenapa kau tak minta kebenaran aku nak makan kek tu?” Aku merenungnya dengan penuh rasa geram. Marahku meluap-luap membara.

“Ermm… aku minta maaf. Aku… aku mengaku makan kek pelangi kau tu… tapi…” kata-kata Nurul terus tersekat. Sebaliknya sekali lagi aku pantas menjawab.

“Tapi apa? Kau jangan nak buat muka simpati. Dah tahu hak orang, kenapa makan?” jerkahku lantas meninggalkan Nurul terkebil-kebil di sofa. Entah kenapa, aku tak dapat mengawal perasaan marah petang itu. Aku benar-benar kesal dengan tindakan tidak bermoral Nurul itu.

Hari terus berganti. Kisah kek pelangi telah membuatkan hubungan aku dengan Nurul semakin retak. Biarpun kami duduk serumah, sebilik lagi tetapi tak ada kemesraan lagi antara kami berdua. Aku dengan hal aku. Nurul dengan hal dia. Keadaan dingin ini terus berlarutan, membuatkan aku kembali berfikir. Adakah tindakan aku selama ini betul? Kerana sepotong kek pelangi, aku terus membenci Nurul.

Petang itu aku termenung seketika. Puas berfikir, tanganku menyelak helaian novel Raudhah karya Ramlee Awang Murshid yang baru aku beli tadi di MPH Bookstores Subang Parade, Subang Jaya beberapa hari yang lepas. Bila terasa bosan membaca, fikiranku kembali mengingatkan Nurul. Mesti ada sebab dia berbuat begitu. Aku kembali mengeluh.

Kek pelangi memang kek kegemaran. Jika berpeluang keluar bandar, aku pasti mendapatkan sepotong kek pelangi untuk dibawa pulang. Selepas kejadian aku marahkan Nurul tempoh hari, antara mereka amat jarang bertegur sapa. Jika berselisih, masing-masing memandang ke arah lain. Kemesraan sebelum ini memang sudah hilang. Akulah yang paling kuat membenci. Aku masih belum boleh memaafkannya. Bukan sekali malah sudah beberapa kali Nurul membuat kesalahan yang sama. Mula-mula aku berdiam dan menahan sabar, sehinggalah kes yang terakhir itu membuatkan aku hilang sabar.

Dua minggu sebelum kejadian terakhir, macam biasa aku simpan kek pelangi yang aku beli di dalam peti sejuk. Aku berkira untuk makan kek tersebut semasa membuat tugasan nanti. Malangnya kek pelangi aku hilang lagi. Aku tahankan sabar. Aku pergi ke dapur untuk membancuh minuman kordial Sunquick berperisa Tropical sejuk ke dalam mug Winnie The Pooh berwarna hijau kesayanganku. Pada masa itu sempat juga aku bertanya kepada Nurul tetapi Nurul buat penafian.

“Ehh… mana aku tahu. Entah-entah kau dah makan. Kau kan pelupa!” ujar Nurul membuat dalih. Mungkin juga ada betulnya.

“Bukan kau yang makan?” soalan panas aku membuatlan Nurul marah menyinga.

“Kau jangan nak tuduh aku! Kau nampak ke aku yang makan kek pelangi tu?” soal Nurul kepada aku kembali. Ketika itu aku hanya simpan marah di dalam hati. Sehinggalah berlaku lagi kehilangan kek pelangi sekali lagi baru-baru ini, aku sudah tak boleh menahan sabar.

******

Setelah sekian lama mendiamkan diri, akhirnya Nurul membuka mulut menceritakan hal yang sebenarnya. Dia yang mula menegur aku. Untuk tidak memanjangkan persengkataan, aku cuba mendengar apa yang mahu disampaikan. Ketika itu aku lihat wajah Nurul nampak sugul. Marahku bertukar menjadi kesian.

“Aku… aku nak minta maaf sekali lagi pada kau. Aku tahu kau masih marah. Aku benar-benar menyesal sebab dah menyakiti hati kau…” kata-kata Nurul dengan perasaan sebak.

“Tapi kau tak sepatutnya buat macam tu. Kenapa tak minta izin dari aku?”

“Memang aku tak sepatutnya buat macam tu tapi…”

“Tapi apa? Kau tahukan apa hukum mengambil hak orang? Apa lagi aku ni kawan kau!”

“Aku tahu… sebab tu aku minta maaf. Aku sebenarnya iri hati tengok kau. Selalu dapat apa yang kau nak. Makan sedap-sedap…”

“Apa maksud kau?”

Nurul menyeka air matanya yang gugur. Pandangannya beralih keluar jendela bilik. Dia mengumpul kekuatan untuk terus berkata-kata.

“Hidup aku dan keluarga sangat susah. Ayah aku hanya seorang pekerja kampung. Ibu tak bekerja dan adik-beradik ramai pula. Kau mesti faham kalau hidup susah, nak beli apa pun payah. Bila tengok kau makan kek pelangi, aku pun teringin. Dengan duit belanja yang tak seberapa, aku tak mampu nak beli apa saja, walaupun sepotong kek pelangi!”

Kata-kata Nurul itu membuat aku turut mengalirkan air mata. Sekarang baru aku faham maksud tersirat di sebalik kejadian. Dia patut bersyukur kerana datang dari kalangan keluarga berada. Apa sahaja yang diminta pasti akan ditunaikan oleh keluarga. Mendengar cerita kesusahan keluarga Nurul membuat aku insaf. Lantas aku peluk Nurul memohon maaf.

“Maafkan aku Nurul. Aku sepatutnya bersyukur dan tak patut buat kau macam ni. Sebagai sahabat kita mesti membantu antara satu sama lain…”

“Terima kasih Diera. Kau sabahat yang baik.”

Keadaan kembali tenang. Aku terfikir sejenak tentang apa yang telah diceritakan oleh Nurul tadi. Aku benar-benar menyesal kerana mementingkan diri sendiri. Mulai saat itu, hubungan aku dengan Nurul kembali baik. Apa sahaja kerja rumah mahupun tugasan kuliah kami buat bersama-sama. Hubungan kami rapat seperti adik beradik.

Malam itu sebelum tidur, aku dan Nurul rancak berbual. Kami ketawa terbahak-bahak apabila teringatkan kisah perselisihan faham sebelum ini. Hanya kerana sepotong kek pelangi, hubungan kami menjadi huru-hara. Kemudian dengan izin ALLAH SWT, hubungan kami erat bersatu kembali. Sebelum melelapkan mata, aku dan Nurul sekali lagi berpelukan dan saling memohon maaf.

Hari terus berganti. Minggu bertukar bulan. Hari itu, Nurul balik ke asrama sedikit lewat. Selalunya sebelum waktu Maghrib dia sudah ada di dalam bilik asrama. Petang tadi dia ada perbincangan dengan teman sekuliah di perpustakaan. Ada tugasan kumpulan yang mesti disiapkan cepat. Alasan itulah dia balik lewat.

Sampai di bilik asrama, Nurul sedikit cemas. Dia hairan sebab sudah hampir pukul sembilan malam tetapi bilik nampak gelap. Dia berfikir dan tidak sedap hati. Selalunya sebelum waktu Maghrib aku sudah ada di dalam bilik.

Surprise!” kedengaran suara menjerit tatkala Nurul menyalakan suiz lampu bilik. Ternyata itu suara aku. Nurul benar-benar terkejut.

“Diera, apa semua ni?”

“Selamat ulang tahun kelahiran Nurul!” ucap aku sambil membawa sebiji kek pelangi kepada Nurul. Beberapa batang lilin masih bernyala apinya. “Tiup cepat, nanti padam pulak apinya!”
Nurul sekali lagi terkesima. Dia tidak menyangka menerima kejutan malam itu. Dia sendiri hampir terlupa bahawa hari itu adalah hari ulang tahun kelahirannya. Dengan sekali hembus, padam api lilin itu. Dia amat gembira kerana diraikan oleh aku.

“Terima kasih Diera. Terima kasih kek pelangi yang sangat istimewa ini!” kata Nurul hampir menitiskan air mata.

“Moga panjang umur dan diberkati oleh-NYA.”

“Amin…”

Ketika itu hanya perasaan gembira berlegar antara mereka berdua. Sambil menikmati sedikit makanan yang aku sediakan, kami saling bercerita. Nurul terus teruja apabila dihadiahkan sebiji kek pelangi. Dia tidak sabar untuk menikmatinya. Kali ini dia akan makan sepuas-puasnya kek pelangi itu. Aku menyuakan sepotong kek pelangi kepada Nurul. Aku juga sengaja menyapu sedikit krim kek pelangi itu ke muka Nurul.

Keadaan bertukar kecoh. Gelak ketawa kami terus memanjang. Akhirnya, aku dan Nurul kembali menikmati suasana gembira. Sepotong kek pelangi telah menyatukan semula hati kami yang pernah retak. Seindah namanya, kami mengharapkan warna-warna pelangi terus meneman kehidupan aku dan Nurul sampai bila-bila.