Thursday, 20 August 2015

Ayah

Keringat membasahi Bumi, seorang insan bergelar “Ayah” memerah kudrat tenaga dan tulang empat keratnya demi mencari sesuap nasi buat isteri dan anak-anaknya yang kian membesar dan meningkat dewasa. Tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dijalankan dengan sebaik mungkin walaupun ayah terpaksa lalui pelbagai dugaan dan bersabar dengan kerenah anak-anaknya.

            Wajahnya kurenung dengan penuh kasih sayang, garis-garis halus kian kelihatan pada wajahnya yang dimamah usia. Ayah begitu setia menunggu anak ini pulang dari bekerja dan keluar bersama rakan-rakan walaupun selepas maghrib. Namun, pesanan ayah aku abaikan begitu sahaja dan hanya memikirkan keseronokkan diluar dan mementingkan rakan-rakan daripada keluarga.

            Lalu aku bermonolog dalam hati sambil merenung potretnya,

‘Ayah, Diera tahu ayah terlalu sayangkan Diera…Diera tahu, ayah mahukan yang terbaik buat Diera sebab Diera adalah anak perempuan tunggal kesayangan ayah dan mak serta anak sulung pula tu…Diera faham dan mengerti kesusahan ayah dan mak dalam membesarkan serta memberi didikan yang sempurna untuk anak-anak dari sudut duniawi dan ukhrawi...ayah, kadang-kadang Diera rasa Diera ni bukanlah anak yang terbaik buat mak dan ayah…’
Tanpa disedari air mataku menitis sambil merenung potret ayah kesayanganku, ternyata walaupun aku tinggal bersamanya aku tetap merinduinya. Ternyata aku dan adik kembar perlukan kasih sayang seorang insan yang bernama ayah. Walau segarang dan setegas mana pun ayah, beliau tetap ayah dan memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh ALLAH swt khas buatnya.

            Aku termenung sendirian lagi sambil menghirup kopi o panas di beranda rumah sambil menghirup ketenangan angin malam dan merenung bulan purnama, lalu memikirkan masa depan akan datang. Tiba-tiba aku merasa ada seseorang yang memegang lembut bahu ini, lalu aku menolehnya.

            “Yes, Boy…kenapa?” Aku menoleh ke pintu beranda rumahku lalu merenung wajah adikku.
            “Kakak, ayah cari akak tadi…ayah tanya Boy kakak pergi mana?” Jawab adikku.

            “Oh okay! Akak ingat ada apa tadi,” ringkas balasanku.

            Sebelum adikku turun ke ruang tamu, aku memanggilnya sekali lagi.

            “Boy…”

            “Ya kak…napa?”

Ermm…kalau kau rajin please masakkan untuk akak dan ayah maggi kari boleh tak?” Aku meminta tolong kepada adikku.

“Boleh…tapi akak tunggu kejap erk,” jawab adikku.

Sambil menunggu maggi yang dimasak oleh adik, aku turun ke ruang tamu ingin bersama ayah dan menonton televisyen. Sambil menonton televisyen, ayah memulakan mukadimahnya untuk berbicara denganku.

“Kakak! Ayah nak cakap sikit boleh?”

“Apa dia, yah?” Pertanyaanku kembali

So macam mana progress manuskrip cerpen yang akak buat tu?” Pertanyaan ayah yang ingin tahu perkembangan projek sulungku ini.

Lalu aku pun menjawab,

So far so good, ayah…everything is okay!” Aku memberi jawapan dengan senyuman yang manis dan ikhlas kepadanya.

“Kenapa ayah?” Soalanku yang diajukan kepada ayah kembali.

“Tak ada apa-apa, kakak…cuma ayah harap kakak berjaya dalam dunia penulisan ni dan satu saja yang ayah pinta…” Kepalaku ligat memikir apa yang ingin dibicarakan oleh ayah.

“Ayah nak bila kakak dah terkenal, jangan lupa diri, sentiasa ingat ALLAH, jangan lupa mak dan ayah serta jangan terlalu berbangga diri dengan kejayaan sekarang tapi bersyukurlah dengan apa yang ada…anggaplah setiap kejayaan yang akak miliki tu sebagai pembangkin semangat untuk akak terus belajar dan  belajar lagi mendalami ilmu penulisan ni…In shaa ALLAH, berkat doa dan restu mak ayah, adik-adik, nanny dan semua ahli keluarga kakak akan berjaya…kakak ingat ya, sokongan ayah sentiasa ada buat kakak...jangan lupa tu ya, nak,” itulah permintaan ayah khas buatku.

Aku diam seketika sambil khusyuk mendengar nasihat ayah tadi. Setelah senyap beberapa ketika lalu aku menjawab.

“In shaa ALLAH ayah, kakak ingat pesanan yang ayah bagi tu…ayah janganlah risau sangat, okay!” Ujarku dengan penuh sopan dan hormat kepadanya.

******

Ayah menghadap laptopnya kembali  untuk menyelesaikan tugasan hariannya yang dibawa balik dari pejabat ke rumah. Tiba-tiba Boy berteriak dari dapur.

“Kak!Ayah! Maggi dah siap…”

“Okay! Boy,” jawabku dan ayah serentak.

Menikmati maggi sehingga licin mangkuk yang dimasak oleh adikku di masa senggang sememangnya kegemaranku bersama ayah tercinta semenjak tiga tahun lepas, semenjak aku tamat pengajian Diploma di Kolej PTPL Shah Alam.

Selepas selesai makan maggi tadi, tiba-tiba aku teringat hendak membeli barang dapur dan keperluan peribadiku di Econmart Supermarket, Sungai Bertih. Dengan tanpaku sedari, ayah berdiri dihadapan pintu dengan wajah yang agak garang dan cengih.

“Kakak! Mana tudung? Kenapa tak pakai tudung bila keluar rumah?” Pertanyaan ayah menyentak tangkai hatiku dengan renungan tajamnya.

Aku membalas kembali renungan tajam yang diberikan kepadaku oleh ayah dengan menahan perasaan marah yang kesumat didalam lubuk hati ini dalam keadaan yang menggigil-gigil akibat terlalu geram dengan ayah sehingga meleleh air mata.

Lalu aku memberi jawapan kepada ayahku,

“Tudung ada aje, yah…cuma akak malas nak pakailah…akak tak ready lagi nak bertudunglah, ayah…jadi, ayah jangan nak paksa akak nak pakai tudung ke or tak,” balasku dengan lancang sekali dihadapan ayah.

“Kakak! Jangan sampai ayah bercakap dengan penampar ya…selama ni ayah dah terlalu banyak sangat bersabar dengan perangai akak…ayah nak kakak masuk rumah and pakai tudung sekarang!Faham tak?” Melengking suara ayah kepadaku dan aku membalasnya dengan jelingan tajam dan tidak puas hati.

Dengan riak muka yang tidak puas hati dan tanpa memberi sebarang jawapan, aku berjalan dengan gaya hentak kaki sebagai tanda protes kepada ayah. Perasaan geram dan marahku bercampur baur dikala itu sehingga meleleh air mata. Hatiku menyumpah-seranah kerana tidak suka ditegur sedemikian rupa oleh ayah.

Di saat itu, aku masuk kembali ke rumah dengan nada menyesal dan pada masa yang sama aku mengutuk-ngutuk didalam hati.

‘Ceh…menyesal aku tak keluar sebelum ayah balik.’

Aku menyarungkan tudung di kepala ini dengan hati yang tidak ikhlas dan perasaan ini hanya merasa dalam keadaan keterpaksaan demi hendak menjaga hati ayah sahaja dan bukannya untuk diri aku sendiri tanpa memikirkan dosa dan pahala. Apa yang aku tahu hanya memikirkan kepuasan sahaja dikala itu tanpa memikir perasaan ayah dan dosa yang terpaksa ditanggungnya hanya kerana aku mendedahkan auratku sebagai seorang perempuan.

Nanny, Diera geramlah dengan ayah tu suka paksa-paksa orang suruh pakai tudung…Diera tak ready lagi, nanny,” aku mengadu kepada nanny dengan harapan dapatlah nanny menyokong aku dari belakang, rupa-rupanya tidak sama sekali.

Lalu nanny bercakap lagi kepadaku,

“Memang patut pun ayah marah kau, Diera...sebab keluar dari rumah tak nak pakai tudung…sampai bila ayah kau tu nak tanggung dosa kau mendedahkan aurat, Diera…cuba fikir umur kau tu dah nak masuk dua puluh tujuh tahun tu pun kau tak boleh berfikir lagi ke?”

“Tapi nanny…Diera…Diera…” Dengan nada tergagap-gagap aku hendak menjawab apa yang nanny cakapkan sebenar tadi.

“Tak ada tapi-tapi lagi, Diera…bermula dari saat ni, nanny tak nak kau keluar rumah tak pakai tudung…ingat nanny tak nak dengar jawapan dan alasan kau lagi keputusan nanny muktamad…nanny tak nak kau kena marah lagi dengan ayah, kau faham tak, Diera?” Nenekku bercakap dengan nada yang agak tegas kepadaku.

            Aku diam seketika dan berfikir sejenak sambil menundukkan muka dari membalas pandangan mata kepada nanny, sehinggakan aku merasa takut kepadanya. Sememangnya aku tahu, nanny memang terkenal dengan ketegasannya dan kegarangannya. Begitu juga ayah, sikapnya sama seperti nanny kesayanganku saling tidak tumpah. Akan tetapi itulah yang bakal kurindui jika nanny dan ayah telah tiada lagi di dunia ini.

“Baiklah nanny…Diera janji yang Diera akan pakai tudung bila setiap kali nak keluar dari rumah,” aku berjanji dengan nanny.

            Bermula dari saat itu, aku tidak lagi menjadi anak yang degil dan hanya mengikut kata hati sendiri tanpa memikirkan baik buruk dan dosa pahala lagi. Aku tahu seorang ayah mahukan yang terbaik buat setiap zuriatnya.

            Di saat ini juga, berhijab menjadi amalanku dan tidak pernah tanggal dari kepala ini setiap kali aku keluar rumah dan kemana sahaja aku pergi atau dimana sahaja aku berada. Kerana ketegasan seorang insan yang bernama ayah telah berjaya mengubah perangai dan sikap aku sebagai seorang anak yang agak keras kepala dan suka mengikut kata hati serta perasaan sendiri.

******

Di Medan Ikan Bakar, Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang.

Aku bermonolog sendirian sambil merenung laut dan menikmati angin malam seorang diri.

‘Ayah…Terima kasih kerana membesarkan kakak, memberi kasih sayang dan didikan yang sempurna buat kakak dengan penuh kasih sayang dari sebesar dua terlapak tangan sehinggalah sekarang dan bakal menjadi isteri orang tidak lama lagi…Ayahlah, wali yang terbaik buat kakak…kakak sayang ayah sehingga ke akhir hayat ni…’

No comments:

Post a Comment